Monday, July 20, 2009

oh! jodoh....

Anda berusia 20-an? Sering ke majlis perkahwinan? Selalu dengar soalan-soalan ini?

“Yang ni bila lagi?”

“Jangan tunggu lama-lama, nanti tak laku.”

Oh, ini sudah bagaikan soalan rutin. Pertanyaan wajib tiap kali bersua muka dengan kenalan lama atau saudara mara. Adakalanya, rimas kan?

Kadang-kadang mulut terasa ringan. Mahu saja menjawab, “Makcik, ibu bapa saya lahirkan saya ke dunia ini bukanlah semata-mata untuk berkahwin dan jaga suami. Insya Allah, saya akan kahwin suatu hari nanti, tapi sekarang banyak lagi yang mahu saya cari dalam hidup saya.”

Tapi, sopan santun sebagai orang Timur masih ada. Kita diajar untuk menghormati orang yang lebih tua. Maka, kata-kata itu tak terluah.

Ingatkah anda?

Penghujung belasan tahun, pertama kali berjauhan dengan keluarga. Semangat dikuatkan demi menimba pelajaran dan pengalaman.

Awal 20-an, melangkah keluar dari universiti, menggenggam segulung ijazah. Membawa bersama cita-cita dan harapan yang menggunung untuk masa depan. Baru hendak mengenali dunia sebenar. Dan baru hendak mencartakan perancangan hari mendatang.

Pertengahan 20-an, masih mencari arah. Ada yang sudah berjumpa dengan pekerjaan sesuai, ada yang masih tercari-cari makna kehidupan. Ada yang sedang merancang hari bahagia. Ada yang sudah punyai anak sendiri.

Untuk yang sudah bertemu jodoh, Alhamdulillah.

Tapi, untuk yang belum, apa yang hendak anda kejarkan?

Pada peringkat umur dan keadaan diri sendiri masih tercari-cari arah tujuan, mungkin belum masanya memikul tanggungjawab sebagai isteri, seterusnya tanggungjawab yang lebih besar sebagai seorang ibu.

Berkahwin, dan menjadi ibu; ini bukan perkara remeh.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua.

Sama ada belum berpunya, atau sudah punya teman tapi belum bersedia melangkah ke alam perkahwinan, tak perlu rasa segan atau tertekan. Hidup seorang tak bermaksud anda keseorangan.Hidup tanpa teman tak bermakna hidupmu kosong tanpa makna.

Untuk membahagiakan orang lain, harus bahagiakan diri sendiri dahulu, kan?

Kejarlah impianmu.

Insya Allah, kalau sudah tertulis jodohmu, takkan ke mana.

No comments:

Post a Comment